Dikuasakan oleh Blogger.

Infovideo: Punca sebenar yang boleh menyebabkan kebakaran di stesyen minyak



Baru-baru ini, satu kejadian yang mengerikan telah berlaku apabila seorang wanita melecur terbakar di salah sebuah stesen minyak di sebuah kawasan di Kuala Lumpur. Berikut daripada kejadian itu, rata-rata pemberita menyalahkan bulat-bulat telefon bimbit sebagai punca kejadian.

Berikut adalah salah satu laporan sebuah akhbar tabloid terkenal negara berkaitan dengan kejadian tersebut.


Namun begitu, apakah telefon bimbit sebenarnya satu-satunya punca kecelakaan tersebut? Jika dikaji dengan lebih mendalam, ada punca lain yang boleh menjadi punca utama kepada kebakaran tersebut - walaupun tanpa telefon bimbit. Berikut adalah video kajian yang telah dilakukan oleh rancangan popular dari Discovery Channel, iaitu Mythbusters dalam tahun 2000 berkaitan dengan punca kebakaran di stesen minyak.


Untuk video yang lebih panjang, boleh tonton video di bawah.


Jadi, apakah telefon bimbit masih menjadi punca kepada kebakaran? Anda petimbangkan.

Persediaan Kerjaya: Strategi sebelum temuduga yang mudah dan berkesan


Sebelum ini, saya pernah menulis bagaimana untuk menyediakan resume yang mantap dan sentap lalu berjaya memikat bakal majikan untuk dipanggil temuduga. Diharapkan tips yang diberikan dalam post tersebut benar-benar berkesan untuk anda. Kali ini, saya ingin terus memberikan tips paling mudah untuk menghadapi temuduga.

Sebelum bermula, suka saya berkongsi pengalaman setelah ditemuduga sebanyak tiga kali untuk setiap sesi temuduga tersebut, saya diterima untuk bekerja di syarikat bekas majikan dan majikan saya yang terkini. Temuduga yang kali pertama adalah sebagai seorang graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian di IPT. Dengan hanya satu sesi dan satu-satunya temuduga yang saya hadapi untuk kerja pertama, saya terus diterima oleh bekas majikan saya itu. Perkara yang sama juga berlaku untuk temuduga dengan majikan kedua dan ketiga saya. Semuanya diterima tanpa pernah ditolak.

Dalam post ini, saya tidak akan menyenaraikan semua jenis persediaan sebelum temuduga kerana semuanya itu boleh didapati dari banyak laman web. Google sahaja, pasti berderet info yang boleh diperolehi.

Kaedah saya adalah lebih santai ataupun dalam bahasa pasarnya 'lebih sempoi' kerana saya ingin menjadikan strategi temuduga ini lebih mudah dan tidak terlalu skema.

Langkah 1: Bersedia untuk ditemuduga
Jika mahu melakukan sesuatu, persediaan adalah paling penting. Persediaan pertama yang wajib dilakukan adalah bersedia untuk temuduga. Jika tidak bersedia, bagaimana untuk maju ke langkah seterusnya? Bersedialah untuk menghadapi sesi temuduga yang akan datang dengan memastikan tarikh, masa dan lokasi temuduga. Jangan sampai tersilap tarikh, masa atau lokasi. Lagi teruk jika tersilap syarikat.

Langkah 2: Buat salinan resume
Setelah berjaya dipanggil temuduga, buat salinan resume anda. Jangan kedekut. Sediakanlah dua atau tiga salinan. Manalah tahu jika diperlukan nanti.

Langkah 3: Sediakan buku sijil dan set salinan sijil
Sediakan sijil-sijil berkaitan untuk temuduga dalam clear book file folder ataupun dalam bahasa mudahnya fail buku dengan plastik lutsinar. Jangan dibiarkan bersepah seperti tidak terurus.

Susun kandungan buku sijil mengikut prioriti kepentingan maklumat sijil kepada jawatan yang dipohon kepada yang kurang penting.

Susun atur sijil-sijil di dalam buku file yang sesuai:
  1. Salinan Resume
  2. Sijil Pendidikan Tertinggi
    Disusun dari peringkat Universiti ke SPM.
  3. Sijil Keahlian Professional
    Contoh: Ahli Board of Engineers Malaysia, dll.
  4. Sijil Kemahiran Professional
    Contoh: Sijil kemahiran kimpalan, sijil kemahiran mengendalikan AutoCAD, dll.
  5. Sijil Pengiktirafan Majikan Terdahulu
    Contoh: Pekerja Cemerlang Tahunan, dll.
  6. Sijil Jawatan Berpesatuan Tertinggi
    Contoh: Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, dll. dari tahun terkini ke tahun terdahulu.
  7. Sijil Penyertaan Aktiviti Ko-kurikulum Tertinggi
    Contoh: Johan ROBOCON 2014, dll. dari tahun terkini ke tahun terdahulu.
  8. Sijil-sijil lain
    Sijil-sijil lain yang dirasakan perlu dan sesuai.
Dalam susunan di atas, kronologi yang sesuai untuk disusun adalah seperti berikut.
  1. Sijil Kemahiran Professional
    1. Kepentingan/Pengaruh kemahiran dengan jawatan yang dipohon
    2. Tahun sijil dikeluarkan
  2. Pengiktirafan Majikan Terdahulu
    1. Kepentingan/Pengaruh pengiktirafan dengan jawatan yang dipohon
    2. Tahun sijil dikeluarkan
  3. Sijil Jawatan Berpesatuan
    1. Tahap kedudukan jawatan (presiden/pengerusi - ahli)
    2. Tahun jawatan diduduki
  4. Sijil Penyertaan Aktiviti Ko-kurikulum Tertinggi
    1. Tahap kejayaan penyertaan (johan - penyertaan)
    2. Tahun jawatan diduduki
Sediakan juga salinan sijil-sijil penting untuk persediaan. Ada bakal majikan akan menyimpan salinan sijil-sijil penting seperti sijil pendidikan dan kemahiran; mengikut keperluan bakal majikan masing-masing.

Langkah 4: Kenali syarikat bakal majikan
Langkah ini penting untuk sesi temuduga nanti. Kebiasaannya, penemuduga yang akan menerangkan apakah core business syarikat mereka. Ada kalanya, mereka sengaja menguji anda dengan soalan begini. Apa pun, mengenali syarikat ini adalah langkah yang lebih penting untuk langkah seterusnya.

Selain itu, kenal pasti lokasi sesi temuduga yang bakal dijalankan. Ada sesetengah syarikat mempunyai beberapa cawangan/pejabat operasi dan kepastian lokasi ini juga penting agar tidak terbuang masa pergi ke tempat yang salah. Kadang kala, lokasi di dalam Google Maps juga boleh silap. Double confirm dengan aplikasi peta yang lain seperti Waze, Here Maps dan lain-lain.

Langkah 5: Kenali jawatan yang dipohon
Perkara yang wajib untuk diambil tahu dalam mengetahui apa jawatan yang dipohon/ditawarkan. Dengan mengetahui tugas-tugas utama jawatan tersebut, bolehlah merangka strategi ayat-ayat yang bakal disusun dalam temuduga. Apabila anda mengenali jawatan yang ditawarkan, anda boleh merangka important points yang sesuai untuk diketengahkan semasa sesi temuduga. Antaranya ialah kemahiran yang berkaitan, pengalaman yang berkait rapat dengan jawatan yang ditawarkan dan lain-lain. Sekiranya anda berjaya menyusun perkataan dengan important points yang berkaitan dengan baik, ini akan lebih meyakinkan bakal majikan untuk memilih anda.

Langkah 6: Pakaian yang sesuai
Pakaian yang sesuai adalah penting untuk ke sesi temuduga. Pakaian formal adalah sesuai untuk mana-mana sesi temuduga dan elakkan berpakaian seperti hipster kononnya untuk nampak kelainan. Lainlah jika ke temuduga sebagai model fesyen atau pereka fesyen. Selain berpakaian kemas, elakkan berpakaian yang mencolok mata (terlalu seksi) kerana boleh mengganggu sensitiviti penemu duga. Jika mahu bekerja sebagai professional, tunjukkan tahap keprofessionalan anda. Anda bukannya mahu memohon jawatan pelakon porno untuk berpakaian seksi.




Langkah 7: Kenderaan ke lokasi temuduga dan rancangan perjalanan
Pastikan bagaimana untuk anda ke lokasi temuduga sudah ditetapkan. Apa kenderaannya, terpulanglah samada mahu memandu sendiri ataupun menaiki kenderaan awam. Apa yang lebih penting adalah perancangan perjalanan ke lokasi temuduga. Buatlah kajian pada jam berapa jalan kebiasaannya mula sesak, bila masanya jalan menjadi lancar. Ini penting supaya anda tidak terlewat ke lokasi temuduga dan pada masa yang sama dapat menjaga first impression anda kepada bakal majikan.

Langkah 8: Tidur awal
Langkah ini semua orang mesti patuh. Ini adalah untuk memastikan badan anda cergas pada hari temuduga anda. Dengan badan yang cergas, otak juga akan menjadi cerdas dan boleh memberi respon yang pantas dan tepat. Pasti bakal majikan anda akan impress dengan anda yang responsif dan peka dengan soalan-soalan yang mereka berikan.

Jadi, cukup rasanya lapan langkah strategi mudah untuk persiapan temuduga. Jika masih belum mencukupi, masih banyak sumber yang boleh didapati dari internet. Apa yang saya kongsikan ini adalah lebih daripada pengalaman saya sendiri. Tak perlu bersusah payah hingga memeningkan kepala. Dengan lapan langkah mudah ini boleh menyediakan diri anda untuk menghadiri temuduga yang dinanti-nantikan.

Semoga berjaya!

KWSP: Pendaftaran Simpanan Shariah Bermula 8 Ogos 2016



KUALA LUMPUR, 20 Jun 2016: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan bahawa pilihan simpanan persaraan baru Simpanan Shariah yang akan dilancarkan pada 2017, akan dibuka kepada ahli untuk pendaftaran pada Isnin, 8 Ogos 2016.

Dalam taklimat hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Simpanan Shariah merupakan pilihan simpanan baru untuk ahli KWSP yang ingin menukar simpanan KWSP konvensional mereka kepada simpanan yang diurus dan dilabur berdasarkan prinsip Syariah.  Simpanan Shariah adalah terbuka untuk semua ahli tanpa mengira bangsa, agama dan kewarganegaraan.

“Berikutan keputusan Rundingan Awam yang dijalankan oleh KWSP tahun lepas, lebih 70 peratus responden bersetuju perlu diadakan opsyen untuk ahli memilih supaya simpanan persaraan mereka diurus berdasarkan prinsip Syariah.  Oleh itu, kami dengan sukacita memperkenalkan Simpanan Shariah untuk memenuhi kehendak ahli.”



Datuk Shahril berkata KWSP telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM100 bilion, iaitu lebih kurang 15 peratus dari keseluruhan jumlah aset pelaburan KWSP sebanyak RM681.71 bilion sehingga akhir Mac 2016.  Beliau berkata penglibatan KWSP dalam pelaburan Islamik bukan perkara baru kerana lebih 45 peratus, atau RM295 bilion, dari jumlah aset pelaburan KWSP adalah patuh Syariah.

“Di masa hadapan, kami menjangkakan untuk mengembangkan pelaburan aset Syariah tidak kurang dari RM25 bilion setahun secara purata atau seiring dengan kenaikan jumlah aset bagi mengekalkan minimum 45 peratus aset Syariah.”

Dari aspek operasi, proses mencarum dan penguatkuasaan semasa kekal sama.  Ahli yang memilih untuk menukar akaun KWSP semasa, yang kini dikenali sebagi Simpanan Konvensional, kepada Simpanan Shariah perlu hadir membawa dokumen pengenalan diri ke mana-mana cawangan KWSP untuk pengesahan cap jari.

Permohonan pendaftaran untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan ‘siapa cepat dia dapat’ bermula 8 Ogos 2016. Bagi melayakkan diri untuk Simpanan Shariah 2017, ahli perlu mengemukakan permohonan sehingga 23 Disember 2016 dan tertakluk kepada ketersediaan dana RM100 bilion.

Selaras dengan prinsip Syariah, kadar dividen untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi portfolio patuh Syariah dan tiada jaminan kadar dividen minimum 2.5 peratus seperti yang terdapat pada Simpanan Konvensional. Tarikh kuatkuasa Simpanan Shariah adalah 1 Januari 2017.



Sebuah Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS) ditubuhkan bagi menyelia semua aspek operasi, pelaburan dan tadbir urus Simpanan Shariah. JKPS juga akan akur produk
pelaburan Syariah yang ditadbir dan disahkan oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan KWSP di 03-89226000. - Sumber: Laman web KWSP.



NOTA: Maklumat tambahan di sini.

Proton Perdana 2016: Proton dengan DNA Honda

Proton baru sahaja melancarkan Proton Perdana baharu, iaitu model flagship Proton yang sudah lama dinantikan kemunculannya. Walaupun Proton Perdana generasi kedua pernah dilancarkan oleh Proton, namun model tersebut hanyalah digunakan oleh kerajaan dan tidak dijual kepada umum. Model generasi kedua hanyalah lebih kepada perubahan kosmetik yang sangat minima dari penderma model iaitu Honda Accord generasi ke-8. Untuk model terbaharu ini, perubahan kosmetik yang lebih ketara dilakukan dan rekaan ini menunjukkan usaha Proton untuk menjarakkan persamaan Proton Perdana dengan Honda Accord.

Walaupun begitu, masih tidak keterlaluan jika dikatakan Proton Perdana ini adalah sebuah Proton dengan DNA Honda. Manakan tidak, reka bentuk dalaman dan juga sistem masih lagi kekal seperti Honda Accord generasi ke-8.



Dengan sekali imbas, boleh dikatakan bahawa rasa pemanduan Proton Perdana ini sama seperti memandu Honda Accord. Ini disebabkan oleh rekaan dalaman serta struktur casis dan sistem pemanduan yang sama digunakan oleh kedua-dua model. Sayang sekali memandangkan Proton Perdana tidak boleh menambah baik sistem dalaman disebabkan oleh perjanjian antara Proton dan Honda. Namun begitu, perjanjian ini akan berakhir kira-kira hujung tahun 2017 dan jurutera Proton pasti akan menyuntik DNA Proton ke dalam Proton Perdana. Ini pasti akan menjadikan Proton Perdana akan lebih bercirikan Proton berbanding membawa imej Honda.

Dengan sistem pemanduan Proton (Lotus Ride & Handling), pastinya rasa pemanduan Proton Perdana akan menjadi lebih menarik. Namun begitu, perubahan akan datang ini juga diharapkan supaya tidak mengganggu integriti part quality yang diharapkan akan lebih tahan lama.



Persoalannya kini, adakah Proton Perdana ini boleh menjadi game changing kepada Proton? Mampukah Proton terus melonjak semula dengan Proton Perdana untuk mengembalikan kepercayaan pengguna kepada Proton?

Tiada siapa yang mampu mejawab persoalan ini sekarang. Hakikatnya, Proton harus berusaha dengan lebih keras untuk kembali dari kegelapan. Proton seharusnya tidak sahaja melihat kepada pelancaran model baharu tetapi juga prestasi selepas jualan mereka yang menentukan pengguna rasa dihargai atau tidak.

Semoga berjaya, Proton.

NOTA: Lihat perbandingan antara Proton Perdana dan Honda Accord terkini di sini.

Infovideo: Perkara Sebenar di Sebalik Bahaya Mengisi Tangki Minyak Penuh

Sebelum ini, ada teori yang viral di Facebook menyatakan mengisi minyak penuh boleh menyebabkan kereta mudah terbakar. Video ini membuktikan sama ada teori ini benar atau salah.

Jadi, antara mengisi penuh atau tidak, yang mana lebih berbahaya?

Infografik: Fakta Menarik Jambatan Kedua Pulau Pinang

Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang dinamakan sebagai Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, bersempena nama Yang di-Pertuan Agong yang ke-14 telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak pada 1 Mac 2014. JK2PP sepanjang 24 km ini telah mula dirancang sejak tahun 1995 lagi iaitu pada zaman pentadbiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan projek pembinaan telah dimulakan pada tahun 2008; merupakan satu perancangan untuk mengurangkan kesesakan di Jambatan Pulau Pinang yang sedia ada.

Berikut adalah infografik yang menarik berkenaan JK2PP yang dibandingkan dengan Jambatan Pulau Pinang.


Sumber: Astro Awani

Infografik: 21 Fakta Memupuk Hubungan yang Bahagia

Setiap pasangan pasti akan pernah rasa risau akan masa depan hubungan mereka. Adakah akan bahagia, atau sebaliknya. Dalam memupuk hubungan yang bahagia, masing-masing haruslah membuat peranan masing-masing dalam memastikan hubungan yang sentiasa bahagia.

Mengapa memupuk hubungan yang bahagia itu penting? Dalam beberapa kajian mendapati bahawa pasangan yang bahagia mampu meningkatkan produktiviti dan juga meningkatkan pendapatan mereka secara tidak langsung. Oleh itu, salah satu perkara yang harus dijaga dalam meningkatkan pendapatan adalah memastikan hubungan bersama pasangan kita sentiasa bahagia dan positif. Untuk itu, kita juga harus tahu kaedah atau perkara-perkara yang mampu membina hubungan yang lebih bahagia bersama pasangan kita.

Apakah yang boleh memupuk hubungan yang bahagia? Infografik di bawah ini akan menunjukkan fakta-fakta hubungan yang bahagia, yang dipetik daripada jurnal-jurnal akademik dan beberapa sumber lain dari sudut akademik oleh sarjana Barat.


Walaubagaimanapun, kita sebagai umat Islam juga tidak harus meninggalkan nilai-nilai agama kita dalam membina hubungan yang bahagia. Jadikanlah Rasulullah s.a.w sebagai idola yang baik untuk kita ikuti dalam membina hubungan yang bahagia dalam rumah tangga.

Sumber: Happify

Infografik: Statistik Facebook Selepas 10 Tahun

Facebook telah diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada 4 Februari 2004 dan telah berkembang dan mengalami beberapa perubahan sehinggalah sekarang. Bersempena 10 tahun Facebook juga Facebook telah menghadiahkan semua pengguna Facebook sebuah video sepanjang pendaftaran mereka di Facebook melalui laman https://www.facebook.com/lookback/.


Mari kita lihat statistik laman sosial ini setelah 10 tahun diwujudkan.


Sumber: Astro Awani

Persediaan Kerjaya: Sediakan resume yang mantap dan sentap!


Mantap dan sentap! Inilah dua kata yang boleh saya sarankan kepada semua untuk membuat satu-satu resume ataupun curriculum vitae (CV). Dengan resume yang sangat mantap dan sentap, dengan mudah juga akan dapat menarik minat bakal majikan untuk memanggil anda menghadiri temuduga.

Sebelum saya bermula, izinkan saya menceritakan sedikit sejarah saya dalam mula-mula menceburi bidang perkerjaan. Saya bergraduasi pada tahun 2012 dengan kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal. CGPA saya tidaklah hebat mana, hanya Second Class Lower dan tidak pernah mendapat Dean List. Pernah gagal satu subjek pada tahun ketiga pengajian saya.

Saya mendapat pekerjaan yang pertama di Johor Bahru tiga bulan sebelum konvokesyen, dengan gaji asas saya melebihi RM2k. Apabila dicampur dengan over time, gaji saya boleh mencapai sehingga RM3000 sebelum ditolak KWSP dan SOCSO.

Saya peroleh pekerjaan pertama saya dengan resume versi pertama saya, dan temuduga saya juga adalah temuduga pertama saya sejak tamat pengajian. Dengan temuduga kerjaya saya yang pertama dalam hidup, saya peroleh pekerjaan tersebut tanpa ada bantuan 'kabel'. Alhamdulillah.

Saya kemudian berpindah dan bekerja di Klang, Selangor. Dengan resume yang telah dikemas kini, saya dipanggil temuduga dan kemudian dilantik ke dalam syarikat. Tempoh saya dipanggil temuduga hingga menerima emel pengesahan lantikan hanyalah dalam selang empat hari.

Kini, saya sudah berada di sebuah syarikat automotif terkemuka dan corak perjalanan saya ke syarikat ini juga hampir sama seperti perjalanan saya ke syarikat-syarikat sebelum ini. Alhamdulillah, apabila mengimbas bali track record saya, tiga pengalaman temuduga pertama dalam hidupan kerjaya, ketiga-tiganya saya berjaya peroleh jawatan dalam syarikat yang saya pohon.

Kini, suka saya berkongsi apa yang saya tahu dan pernah alami dalam memulakan dan mengembangkan kerjaya kepada anda; agar anda juga boleh menggunanya untuk diri anda sendiri. Insya-Allah, dengan perkongsian ini, anda juga akan mudah untuk mendapatkan pekerjaan impian anda.

Sebelum ini, saya pernah mengumumkan satu jawatan kosong di blog peribadi saya, iaitu satu kekosongan di jawatan QC Inspector di syarikat majikan lama yang juga akan menjadi sub-ordinate saya. Dalam tempoh beberapa jam sahaja, banyak resume yang saya terima dari pemohon-pemohon untuk jawatan tersebut.

Walaupun begitu, saya agak sedih kerana terdapat sebilangan besar dari mereka yang tidak menyediakan resume yang mantap dan sentap untuk menarik minat saya membaca penuh resume mereka. Bukan kerana tidak mahu membantu tetapi resume mereka tidak menepati kehendak bakal majikan mereka.

Resume vs CV
Antara sebab yang menyebabkan bakal majikan tidak membaca habis resume mereka adalah sebab mereka menghantar CV, bukannya resume.

Apakah bezanya antara resume dan CV? Pada fungsinya, kedua-duanya lebih kurang sama tetapi dari segi perisian dan perinciannya, resume dan CV adalah saudara yang berbeza. Resume adalah ringkasan pengalaman kerja, kelayakan akademik, skill dan maklumat penting yang ingin disampaikan dalam 2-3 muka surat manakala CV lebih kepada kronologi pengalaman, kemahiran, kelayakan, anugerah, pengiktirafan dan sebagainya yang lebih lengkap.

Bilakah waktunya resume/CV digunakan? Kebiasaannya, resume digunakan pada hampir semua jenis permohonan kerja secara umum manakala CV biasa digunakan dalam permohonan kerja atau jawatan yang lebih bersifat akademik seperti pensyarah, pengkaji selidik, saintis dan sebagainya.

Resume yang berkesan.
Secara ringkasnya, resume yang berkesan adalah resume yang menepati kehendak bakal majikan anda, mengikut jenis jawatan yang anda pohon. Resume yang mantap dan sentap pula resume yang berkesan dan mempunyai nilai-nilai yang lebih tinggi dari resume-resume pesaing mereka; contohnya seperti susun atur template, layout, reka bentuk dan ketepatan kandungan resume.

Untuk menghasilkan resume yang berkesan, beberapa langkah dan perkara harus diambil kira:

1. Cover letter
Ibarat mengurat gadis idaman, cover letter boleh diibaratkan sebagai ayat manis pemula pemohon kepada bakal majikan. Cover letter berfungsi sebagai ayat-ayat pengenalan kita kepada majikan yang mampu menarik minat majikan untuk membaca resume kita. Cover letter juga boleh ditulis pada emel yang juga disertakan dokumen resume dalam lampiran.

Cover letter yang baik adalah cover letter yang ringkas dan padat. Cover letter seharusnya mengandungi:
  1. Tajuk yang tepat.
  2. Pengenalan ringkas diri (nama, kelayakan akademik).
  3. Jenis jawatan yang dipohon.
  4. Pengalaman/skill kerjaya.
  5. Motivasi diri untuk mengisi jawatan.

Berikut adalah contoh cover letter ringkas yang agak menarik perhatian dan berkesan.
Subject/Title: Job application for Design Engineer in AutoDesign Sdn. Bhd.

Dear sir/Dear madam/Dear Mr./Mrs. surname/En./Pn. name,

My name is Mohd Fadzrul Hisyam bin Badarudin (123456-78-9012), a Bachelor Degree graduate in Mechanical Engineering from Universiti Malaysia Pahang. I'm writing to your company after seeing an advertisement for a job as a Design Engineer in Jobstreet.com on 5th January 2014. I am interested on applying the advertised job position.

My previous position was a project engineer in BuildProject Sdn. Bhd and have good skills in engineering designs. Besides, I am a certified with Autodesk AutoCAD 2012 Certified Associate and also highly skilled in using Solidworks, Catia and Algor. One of my portfolio was the design of Petronas Twin Tower ventilation system.

I am a good team player, team leader and very good in generating new design idea. I believe that I can contribute a lot to your company since that AutoDesign Sdn. Bhd. also have a huge reputation in designing automation parts.

I wish that I will meet you personally so that I can discuss a lot more about my qualifications, skills and experiences. If the company requires then I am also willing to relocate for this job. You can contact me trough my e-mail or my personal phone number as stated in the resume attached along with this e-mail.

Thank you for your consideration,

Sincerely,
Mohd Fadzrul Hisyam.

Emel yang tidak disertakan dengan cover letter kebiasaannya akan menyebabkan kebarangkalian besar bakal majikan anda tidak akan langsung membuka resume anda. Walaupun begitu, cover letter yang dikarang mestilah ringkas dan padat. Cover letter yang berjela-jela tanpa arah tuju hanya akan menyebabkan bakal majikan anda malas untuk membacanya.

Tips:
Guna cover letter yang bertema kepada jenis jawatan yang dipohon. Cover letter yang terlalu umum akan menyebabkan bakal majikan anda berfikir bahawa anda ini seorang yang malas dan lepas tangan.

Elakkan typo ataupun kesilapan ejaan. Semak ejaan sebelum menekan butang 'send'. Ingat, fikir dulu sebelum hantar!

Semak tatabahasa (grammar) anda sebelum hantar. Jangan hantar cover letter yang mempunyai tatabahasa yang tunggang langgang. Minta bantuan yang mahir untuk menyemak cover letter anda.

2. Tema resume mengikut jenis jawatan yang dipohon.
Resume yang dihantar mestilah bertemakan mengikut jenis jawatan yang dipohon. Sebagai contoh, sekiranya jawatan yang dipohon adalah jawatan Jurutera Perisian Komputer, kandungan resume yang dihantar mestilah tertumpu kepada jawatan tersebut. Banyak kes yang berlaku apabila jawatan yang dibuka adalah di bidang kejuruteraan pembuatan, tetapi resume yang dihantar bertemakan kepada kejuruteraan elektronik.

Tema resume yang melencong daripada jenis jawatan yang dibuka kebiasaannya tidak akan dibaca langsung oleh bakal majikan. Sekiranya anda mahu memohon sesuatu jawatan yang tidak ada kaitan dengan kelayakan anda dengan niat 'mencuba nasib', anda boleh merangka satu resume yang bertemakan lebih umum. Namun, dicadangkan juga untuk highlight bahagian-bahagian penting yang benar-benar dirasakan dapat membantu anda mendapatkan pekerjaan tersebut.

3. Template dan layout.
Template dan layout merupakan antara faktor penting dalam merangka resume. Gunakan template yang ringkas dan menarik untuk resume anda. Pastikan juga layout resume anda tersusun dan memudahkan orang lain untuk membaca resume anda.

Ibaratkan resume itu rumah anda, dan anda mahu berasa mudah untuk berjalan masuk dari pintu utama ke dapur rumah. Jika susunan perabot di dalam rumah anda kemas dan rapi, pastinya mudah untuk anda ke dapur. Begitulah juga sebaliknya. Pastikan resume anda kemas dan seronok untuk dibaca.

Template resume yang menarik juga boleh didapati dari internet. Ada juga yang menawarkan pakej template resume terbaik untuk dijual di internet, bersama-sama dengan panduan membuat resume yang menarik.

Tips:
Jika anda mahir dalam menghasilan reka bentuk resume yang menarik, anda boleh menambah reka bentuk grafik di dalam resume anda. Terutamanya kepada graphic designer dan sebagainya. Gunakan grafik yang bersesuaian dengan jawatan yang dipohon. Anda tak perlukan menunjukkan portfolio reka bentuk resume yang advance untuk memohon jawatan Akauntan.

4. Konsep resume.
Resume mempunyai beberapa konsep iaitu konsep kronologi mengundur (reversed chronology), konsep fungsi ataupun konsep hibrid. Konsep kronologi berundur ini merupakan konsep resume yang biasa digunakan kepada mereka yang tidak ada banyak pengalaman. Kebiasaannya adalah graduan muda, mahupun mereka yang cuma ada pengalaman kerja tidak lebih dari 3 tahun. Resume berkongsep kronologi berundur lebih kepada menyusun pengalaman dalam karier sebelum ini, mengikut tahap pendidikan dan sebagainya. Sebagai contoh, seseorang meletakkan pengalaman kerjanya yang terakhir di paling atas kemudian diikuti oleh pengalaman kerjaya yang sebelumnya di bawah.

Konsep fungsi pula merupakan konsep resume yang menumpu fokus kepada pengalaman dan kemahiran tertentu untuk memohon pekerjaan. Berbeza dengan konsep kronologi mengundur, resume dengan konsep fungsi pula memfokuskan pengalaman dan kemahiran tertentu sahaja; yang berhubung kait dengan jawatan yang dipohon. Contohnya, seseorang itu memohon kerja sebagai Jurutera Proses, mereka menyenaraikan pengalaman kerja dan kemahiran-kemahiran yang benar-benar ada kaitan dengan kerjaya sebagai Jurutera Proses. Pengalaman kerja yang tidak berkaitan seperti pengkeranian, bekerja di restoran makanan segera tidak disenaraikan di dalam resume.

Bagi fresh graduate, kebiasaannya mereka tidak memiliki pengalaman bekerja. Jadi, cara terbaik adalah meletakkan pengalaman semasa di latihan industri sebagai pengalaman bekerja, projek tahun akhir, kemahiran-kemahiran khusus dan senarai aktiviti ko-kurikulum yang disertai.

5. Isi kandungan
Resume yang mempunyai kandungan yang tepat adalah sangat baik untuk dipilih oleh bakal majikan. Walaupun kandungan resume adalah berbeza mengikut keadaan, tetapi secara umumnya senarai di bawah mesti ada di dalam resume.
  1. Tajuk resume
  2. Gambar terkini
  3. Butiran peribadi (nama, no. kad pengenalan, status perkahwinan, alamat, no. telefon, emel, dsb.)
  4. Objektif kerjaya
  5. Latar belakang pendidikan (dari SPM ke atas)
  6. Pengalaman bekerja
  7. Skill dan kemahiran
  8. Lain-lain (kelas lesen memandu, jangkaan gaji, dsb.)
  9. Rujukan bukan ahli keluarga (pensyarah, bekas majikan, dsb.)

Tajuk Resume
Sebilangan orang menyatakan tajuk resume adalah pilihan tetapi bagi saya, tajuk resume adalah sesuatu yang penting. Hal ini kerana, tajuk resume boleh memberikan pandangan sekilas siapa diri anda. Tajuk resume yang baik akan dapat menarik perhatian bakal majikan.

Contoh tajuk resume yang boleh digunakan adalah seperti berikut:
CIDB Certified Fresh Graduate Civil Engineer
CISCO Certified Software Engineer
5-year-experienced Accountant

Dengan meletakkan tajuk yang menarik dan berkesan, saya dapat jamin yang resume anda pasti akan dibaca oleh bakal majikan anda.

Gambar Terkini
Gambar terkini wajib diletakkan. Ini adalah syarat sah yang saya tetapkan. Hukum tidak meletakkan gambar terkini anda adalah merugikan anda. Hal ini adalah bakal majikan anda semestinya mahu mengenali siapakah orang yang mahu mereka ambil sebagai pekerja; bukannya hantu. Resume tidak bergambar kebiasaannya 98% akan ditolak dan disisihkan secara automatik.

Bagi yang berpurdah, saya mencadangkan untuk juga meletakkan gambar muka yang tidak dilitupi purdah. Bukan mahu menafikan pendirian anda, tetapi ini dapat membantu anda untuk mendapatkan pekerjaan yang anda pohon.

Jangan risau jika anda tidak merasakan diri anda kacak/cantik kerana bakal majikan kebiasaannya lebih memilih kemahiran dan kemampuan seseorang itu melakukan tugas berbanding kecantikan; melainkan anda memohon kerja sebagai model kecantikan.'

Butiran Peribadi
Untuk memberi pengenalan diri anda kepada bakal majikan, butiran peribadi adalah penting. Berikut adalah butiran peribadi umum dan ringkas yang harus diletakkan di dalam resume:
  1. Nama penuh
  2. Nombor kad pengenalan
  3. Tarikh lahir
  4. Kewarganegaraan
  5. Jantina
  6. Status perkahwinan
  7. Agama
  8. Alamat rumah
  9. Nombor telefon bimbit
  10. Emel

Contoh butiran peribadi.

Tips:
Jika anda memohon jawatan dari luar negara, anda boleh mempraktikkan susunan nama <surname, first name> pada nama anda. Contohnya 'Badarudin, Mohd Fadzrul Hisyam'. Satu lagi cara adalah anda terus membuka ruang First Name dan Surname pada ruangan nama.

Letakkan alamat rumah yang hampir dengan lokaliti tempat kerja anda. Contohnya, anda dari Besut, Terengganu memohon jawatan di Shah Alam, Selangor. 'Pinjam' alamat saudara-mara yang ada berdekatan Shah Alam untuk menambah peluang mendapatkan jawatan tersebut.

Gunakan alamat emel yang lebih professional. Contohnya alamat emel saya ialah fadzrulhisyam@gmail.com nampak lebih professional dan matang berbanding fhisyam_macho89@yahoo.com. Emel yang lebih professional akan membantu anda dengan lebih berkesan.

Objektif Kerjaya
Meletakkan objektif kerjaya boleh membantu anda untuk mendapatkan pekerjaan anda. Ini dapat memberi tahu bakal majikan anda, apakah objektif kerjaya anda bertepatan dengan core business mereka. Kebiasaannya, seseorang yang diketahui objektif kerjaya mereka lebih diyakini dan dipercayai memandangkan mereka mereka memiliki common sense yang sama dengan bakal majikan anda.

Begitupun, pastikan objektif kerjaya yang anda nyatakan itu berkait rapat dengan jawatan yang anda pohon. Janganlah anda memohon jawatan akauntan, tetapi meletakkan objektif kerjaya anda "mahu menjadikan dunia lebih meriah dengan fesyen terkini".

Objektif kerjaya yang baik adalah objektif kerjaya yang bukan mementingkan diri sendiri. Letaklah objektif kerjaya yang boleh anda sumbangkan kepada diri dan masyarakat secara umum atau khusus.

Contoh objektif kerjaya:
Gaining experience, knowledge and skills in software development and be able to develop great programs that will help human to ease their life.

Tips:
Nyatakan objektif anda yang relevan untuk dicapai. Jangan terlalu bombastik sehinggakan nampak janggal.

Latar Belakang Pendidikan
Salah satu sebab anda dipilih adalah kerana kelayakan pendidikan anda. Kelayakan pendidikan yang lebih berkait dengan jawatan yang dipohon adalah lebih meyakinkan bakal majikan anda. Walaupun begitu, anda juga boleh memilih jawatan yang tidak berkaitan dengan kelayakan pendidikan anda, tetapi masih boleh menjawat jawatan yang dipohon. Saya akan bagi tips bagaimana untuk mendapatkan jawatan yang tidak berkaitan dengan kelayakan pendidikan anda.

Ada sebilangan besar resume yang pernah saya baca, mereka meletakkan sejarah pendidikan sejak UPSR. Jangan letak latar belakang pendidikan bermula dari UPSR! Ini hanya merugikan ruang resume anda! Secara logiknya, apa pekerjaan yang memerlukan keputusan UPSR di resume anda?

Latar belakang pendidikan yang terbaik adalah mengikut jenis kelayakan yang ditawarkan dalam iklan jawatan kosong tersebut. Sebagai contoh, jika jawatan kosong itu dibuka kepada pemegang sijil Diploma, anda boleh menyenaraikan institusi pengajian yang anda peroleh Diploma, senarai institusi latihan sijil kemahiran yang berkaitan dan sekolah yang anda peroleh sijil SPM.

Bagi pemohon jawatan yang memerlukan sijil Ijazah Sarjana Muda, anda boleh menyenaraikan institusi yang anda peroleh sijil Ijazah Sarjana Muda anda, Diploma/STPM/Matrikulasi dan SPM.

Sesetengah pemohon pula memiliki taraf pendidikan yang lebih tinggi dari tawaran yang diiklankan. Contohnya, tawaran dibuka untuk pemegang sijil Diploma dan setaraf, tetapi pemohon adalah pemegang sijil Ijazah Sarjana Muda. Bagi kebanyakan kes, pemohon begini akan ditolak awal kerana tidak menepati keperluan jawatan.

Trivia:
Bagaimana untuk mendapatkan jawatan yang baik dengan jumlah gaji yang tinggi dari yang lain?
- Saya akan berikan tips-tips dalam entri yang akan datang.

Satu lagi perkara penting untuk diletakkan di dalam latar belakang pendidikan adalah keputusan/pointer anda, terutama bagi fresh graduate. Saya mewajibkan semua fresh graduate untuk meletakkan keputusan/pointer anda di dalam resume. Hal ini kerana anda sebagai fresh graduate, anda memohon jawatan tersebut dengan modal kosong! Jangan lompongkan lagi resume anda dengan tidak meletakkan keputusan/pointer anda! Jangan segan meletakkan pointer anda, walaupun anda tidak pernah langsung mendapat Anugerah Dekan (Dean List). Pointer anda akan menjadi modal yang cantik untuk membantu anda.

Sekiranya anda sudah berpengalaman dalam kerjaya lebih dari tiga tahun, anda bolehlah menimbang semula untuk tidak meletakkan lagi keputusan/pointer anda; sekiranya anda yakin bahawa pengalaman dan kemahiran anda lebih berkesan untuk meyakinkan bakal majikan anda.

Tips:
Nyatakan GPA semasa dan CGPA semasa sekiranya anda memohon jawatan sebelum anda tamat pengajian. Apabila anda sudah mempunyai keputusan peperiksaan terakhir anda (dan/atau sudah bergraduasi), kemas kini resume anda dengan maklumat paling terkini. Jangan biarkan resume anda tidak dikemas kini kerana bakal majikan akan membuat homework tentang anda.

Pengalaman Bekerja
Sekiranya anda mempunyai pengalaman dalam bekerja, anda harus menyenaraikan pengalaman anda, dan skop kerja yang anda lakukan dalam pekerjaan tersebut. Pengalaman yang anda ada sangat membantu untuk mendapatkan jawatan yang anda pohon, walaupun anda mempunyai kelayakan akademik yang tidak sama dengan tawaran yang diiklankan!

Andainya anda pernah melakukan 10 jenis pekerjaan, saya galakkan anda untuk menumpukan dan menyenaraikan pekerjaan-pekerjaan yang sehampir perkaitannya dengan jenis jawatan yang dipohon.

Contohnya, anda memohon jawatan sebagai Eksekutif Jualan dan Pemasaran (Sales and Marketing Executive), anda boleh menyenaraikan pengalaman sebagai promoter, pelayan restoran, dsb. yang menampakkan anda memiliki pengalaman yang tinggi dalam berurusan dengan prospek pelanggan dan bakal pelanggan.

Bagi fresh graduate, anda boleh meletakkan pengalaman anda semasa di dalam latihan industri sebagai pengalaman bekerja, di samping meletakkan ringkasan Projek Tahun Akhir anda di dalam resume untuk menambah nilai resume anda.

Tips:
Jangan senaraikan 'apa yang anda belajar' semasa di latihan industri, tetapi olah ayat anda menjadikannya lebih menarik dan mantap dengan meletakkan 'apa tugas yang anda telah diamanahkan' semasa di dalam latihan industri.

Contohnya, tukar 'gained experience in designing SMK Jalan Api canteen lot' kepada 'assigned to design new SMK Jalan Api canteen lot'. Anda nilai sendiri, yang manakah lebih anda yakin untuk pilih?

Skill dan Kemahiran
Bagi menambahkan keyakinan bakal majikan anda, skill dan kemahiran wajib diletakkan di dalam resume. Jika tiada kemahiran yang anda senaraikan, anda diibaratkan 'manusia batu yang tidak boleh melakukan apa-apa'. Skill dan kemahiran ini juga boleh menjadi modal besar anda untuk mendapatkan pekerjaan, sekiranya anda memohon jawatan yang agak terpesong dari kelayakan akademik anda atau anda tidak memiliki keputusan/pointer tinggi dalam akademik anda.

Berikut adalah beberapa kemahiran yang boleh anda senaraikan:
  1. Kemahiran bahasa - Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, dll.
  2. Kemahiran komputer - Microsoft Office, AutoCAD, MATLAB, Adobe Premier, dsb.
  3. Kemahiran praktikal - Kimpalan, Pertukangan, Kira-kira Statistik (lampirkan sijil kemahiran, jika ada)
  4. Kemahiran professional - AISI, ISO 9001, ISO 14001, dsb.

Tips:
Sekiranya anda mahir dalam bahasa ketiga anda, peluang anda lebih cerah untuk mendapat jawatan tersebut. Bahasa paling hangat (baca: hot) dalam pasaran kerja adalah bahasa Mandarin.

Sertakan nombor sijil kemahiran sekiranya anda menyenaraikan sijil-sijil kemahiran yang anda ada di dalam resume.

Lain-lain
Untuk bahagian ini, anda boleh tambah beberapa info tambahan berkaitan dengan diri anda. Antaranya ialah:
  1. Mempunyai pengangkutan sendiri.
  2. Jenis lesen memandu yang diperoleh.
  3. Tarikh/tempoh paling awal memulakan tugas.
  4. Kesanggupan untuk berpindah/kerja lebih masa/keluar kawasan/dsb.
  5. Jangkaan gaji.

Tips:
Sekiranya anda meletakkan jangkaan gaji, pastikan anda meletakkan jangkaan gaji yang setaraf dengan jenis pekerjaan (biasanya dilihat pada taraf kelayakan pendidikan yang dikehendaki).

Ada kes biasa yang saya terima adalah, jawatan bertaraf bukan eksekutif dengan kelayakan Diploma dan ke bawah yang dipohon, tetapi taraf gaji yang diminta bertaraf eksekutif dengan taraf kelayakan Ijazah Sarjana Muda dan ke atas. Ada sebahagiannya meminta gaji yang lebih tinggi dari gaji saya sendiri!

Rujukan Bukan Ahli Keluarga
Rujukan adalah penting. Senaraikan sekurang-kurangnya dua orang yang boleh dirujuk berkaitan anda, dan yang paling penting adalah bukan ahli keluarga anda. Individu yang disenaraikan mestilah sama ada pensyarah, bekas majikan, bekas penyelia, dsb. yang pernah menilai anda. Sesetengah bakal majikan memang ambil berat akan bakal pekerjanya dan melakukan kajian terperinci terhadap sejarah mereka.

Senarai individu tersebut mestilah mempunyai maklumat asas berikut:
  1. Nama.
  2. Jawatan.
  3. Nama Syarikat.
  4. Nombor telefon pejabat/telefon bimbit.
  5. Emel.
  6. Hubungan dengan anda.

Tips Tambahan:
Senaraikan keahlian dalam pertubuhan professional yang anda sertai bersama-sama dengan nombor keahlian anda. Contohnya, saya sudah berdaftar dengan Board of Engineers, Malaysia; Institute of Engineers, Malaysia; dan Society of Automotive Engineers International (SAE International).

Senaraikan pencapaian/anugerah yang anda terima. Contohnya anda pernah memenangi pingat emas dalam pertandingan reka cipta peringkat antarabangsa.

Untuk fresh graduate, anda boleh menyenaraikan aktiviti ko-kurikulum yang anda sertai semasa dalam pengajian. Untuk menjadikannya lebih berkesan, senaraikan aktiviti yang mempunyai nilai tambahan (added value) tertinggi sahaja. Contohnya anda menjadi johan dalam pertandingan reka cipta peringkat antarabangsa; memegang jawatan utama dalam program-program berimpak tinggi seperti Wacana DiRaja Negeri Pahang, dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang dan Istana Negeri Pahang; menjadi Presiden Sektetariat Majlis Mahasiswa Anak Negeri Pahang; dsb. Anda boleh ketepikan aktiviti-aktiviti lain untuk menambah ruang pada resume anda untuk skill dan kemahiran.

6. Resume Mantap dan Sentap
Sengaja saya bagi nama yang agak bombastik. Anda harus tahu, apakah yang dipandang bakal majikan anda apabila menerima permohonan baharu untuk jawatan yang ditawarkan. Dari perspektif dan pengalaman saya, saya senaraikan berdasarkan kronologi di bawah:
  1. Tajuk emel/cover letter.
  2. Alamat emel anda dan nama yang digunakan untuk emel anda.
  3. Kandungan emel/cover letter (termasuk bahasa dan tatabahasa).
  4. Maksimum SATU lampiran dalam emel - iaitu resume anda sahaja.
  5. Tajuk resume.
  6. Nama dan gambar anda dalam resume.
  7. Kelayakan pendidikan tertinggi.
  8. Pengalaman bekerja.
  9. Skill dan Kemahiran.
  10. Jangkaan gaji.
  11. Kekemasan dan nilai tambahan resume.
  12. Maklumat lain dalam resume.
Lain orang lain caranya. Apa pun, first impression anda terhadap bakal majikan anda sangat penting. Jangan guna alasan 'don't judge a book by it's cover' untuk ambil mudah. Realitinya, 'people always judge the cover first, instead of the content of the book'.

Kalau tak, tak adalah iklan McDonald's yang burgernya paling cantik dan segar, tetapi burger yang sebenar hanyalah burger layu dan kusam.

Untuk menambahkan peluang anda untuk dipanggil temuduga, pastikan book cover anda menarik dan memikat dan book content anda seronok dan menepati kehendak pembaca untuk dibaca! Pastinya, anda akan dipilih oleh bakal majikan anda untuk sesi temuduga.

Tips:
Pastikan anda kemas kini resume anda sekurang-kurangnya tiga bulan sekali, untuk memastikan resume anda sentiasa segar untuk digunakan.

Selain daripada apa yang saya kongsikan ini, suka saya memperkenalkan salah seorang sahabat saya yang juga sangat mahir dalam memberikan panduan membuat resume dengan sangat berkesan dan sempurna. Beliau adalah Khairi Hafizi, sudah membantu banyak graduan muda dan juga pekerja-pekerja dalam menyediakan resume yang sangat berkesan.

Beliau juga menyediakan beberapa template yang sangat menarik dan berkesan untuk menarik minat bakal majikan. Selain itu, beliau juga menyediakan beberapa contoh cover letter lain yang boleh dirujuk untuk persediaan anda. Anda cubalah melawat ke laman sesawangnya di sini. Pasti anda tidak akan menyesal kerana apa yang dia berikan adalah lebih 80% daripada apa yang saya kongsikan di dalam entri ini.

Selesai bahagian resume. Seterusnya, saya bercadang untuk menulis entri bagaimana untuk mendapatkan jawatan dengan gaji yang setaraf dengan taraf pendidikan anda. Bagaimana anda dengan sijil Ijazah Sarjana Muda, boleh memperoleh pekerjaan dengan gaji asas yang setimpal iaitu sekurang-kurangnya RM2k sebulan.

Saya juga bercadang untuk menulis entri berkaitan dengan persediaan temuduga, untuk membantu anda terus 'menang' dalam temuduga pertama anda. Jumpa lagi di bahagian akan datang. Semoga berjaya!

-----

Penafian: Kaedah yang diberi tidak menjamin 100% kejayaan. Apa yang dikongsikan dalam entri ini lebih kepada panduan untuk menambahkan nilai resume agar lebih menarik dan berkesan anda supaya kebarangkalian anda untuk berjaya dipanggil temuduga lebih tinggi. Aspek di luar kawalan juga memain peranan dalam kejayaan/kegagalan resume anda dipilih.

Membuat pendapatan sampingan dengan 8Share.


Seperti tulisan dalam artikel yang sebelum ini, saya ada menerangkan salah satu cara untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan menggunakan internet. Kali ini, konsepnya masih sama, iaitu program affiliate. Cuma kali ini, untuk konsep affiliate ini, modusnya adalah berbeza dari yang diterangkan dalam artikel yang lepas.

Jika modus affiliate dalam artikel yang sebelum ini adalah tertumpu kepada mendapatkan komisyen dalam setiap jualan, modus affiliate kali ini adalah dengan mendapatkan pendapatan melalui bilangan klik yang diperoleh melalui pautan (link) yang disediakan.

Sebelum diterangkan secara lebih mendalam, apa itu 8Share? Secara ringkasnya, 8Share adalah satu agen pengiklanan yang menawarkan platform iklan kepada peniaga atau pengeluar iklan untuk diterbitkan dalam bentuk perkongsian (share) oleh ahli berdaftar 8Share. 8Share berfungsi dengan memberikan bayaran bagi setiap klik yang diterima terhadap pautan yang disediakan kepada ahli yang mengongsikan pautan yang disediakan.

Secara ringkasnya, 8Share akan menyediakan pautan mengikut kempen iklan yang ada. Anda pula mempromosikan kempen iklan yang diterbitkan dengan meletakkan pautan yang disediakan. Apabila ada pengunjung yang berminat, dia akan klik pada pautan anda, dan anda akan menerima bayaran bagi setiap klik. Kadar bayaran adalah tertakluk kepada 8Share.

Dari konsep sifirnya, semakin banyak klik yang anda terima, semakin banyak pendapatan yang akan anda dapat. Anda boleh lihat contoh seperti akaun saya di bawah.


Ini adalah sebahagian daripada klik yang saya terima pada hari ini. Jika anda rujuk gambar di atas, saya telah menerima lebih daripada 30 klik untuk hari ini sahaja. Jadi, dengan jumlah 30 klik untuk hari ini, didarabkan dengan bayaran 20 sen bagi setiap klik, jadi pendapatan sampingan saya untuk hari ini adalah sebanyak RM6.

Anda perlu mengumpul sehingga sekurang-kurangnya RM 50 untuk check out wang anda ke dalam akaun anda. Sekiranya anda memiliki kemahiran mempromosi yang baik, anda pasti boleh mengumpul RM20 dalam masa sehari.

Jika anda lihat di dalam gambar di atas, terdapat beberapa kempen yang sedang berjalan dan mendapat pendapatan dengan klik yang diterima pada unik saya untuk setiap kempen.

Contoh pautan yang unik mengikut kempen promosi adalah seperti berikut:

  1. If you're an animal lover, why not adopt a turtle?  http://curium-cr.com/my-5493180
  2. Challenge yourself to Live Great today and win awesome prizes! http://curium-cr.com/my-5528720

Anda boleh klik pautan di atas untuk melihat contoh laman web pengeluar promosi untuk rujukan anda.

Di mana boleh anda membuat promosi? Anda boleh melakukan promosi di blog, Facebook, Twitter dan mana-mana yang anda rasa bersesuaian. Selagi mana anda boleh mendapatkan klik untuk mendapatkan pendapatan anda, anda boleh lakukannya.

Jadi, adakah anda berminat untuk menyertai komuniti 8Share? Jika berminat, anda boleh klik pada pautan yang disediakan di bawah:

http://bit.ly/18mfgIB
Anda hanya perlu mendaftar secara pecuma, dan boleh mula aktif untuk mempromosi kempen iklan. Anda tidak perlu memiliki kemahiran teknikal yang amat tinggi untuk menjalankan kempen promosi anda.

Oleh itu, janganlah berlengah lagi. Kos sara diri tahun 2014 semakin meningkat dan anda perlukan tindakan yang bijak untuk mengelakkan anda dan keluarga hidup dalam tekanan kewangan.

Mulalah daftar di http://bit.ly/18mfgIB sekarang. Anda pasti berpuas hati dengan hasilnya.